Terlalu banyak hadis-hadis yang menyebut tentang keistimewaan seorang wanita. Antara yang disebut adalah doa seorang wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki.
Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut, jawab Baginda, “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.” Satu lagi hadis menyebut, “Wanita yang solehan (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.”
Berdasarkan hadis di atas, kedudukan seorang wanita itu sebenarnya sangat mulia dan jika ditambah dengan sifat solehah yang boleh dibentuk, tentu saja seorang wanita itu antara wanita pilihan.
Persoalannya, siapakah orang yang paling sesuai untuk mendampingi seorang lelaki? Apa yang dimaksudkan dengan wanita terbaik dan langkah bagaimanakah yang patut anda dahului dalam memilih wanita yang terbaik.
1. Perhatikan Tingkah Lakunya
Dalam membuat pilihan terhadap seorang wanita, aspek paling utama adalah memerhatikan tingkah lakunya. Apabila elok budi pekertinya, tutur katanya, peribadinya dan sebagainya, anda boleh memulakan salam perkenalan kepadanya.
Jangan sesekali tersalah memilih wanita yang liar tingkah lakunya kerana ia akan merosakkan perhubungan kerana mereka yang bersikap liar ini biasanya hanya mementingkan keseronokan semata-mata.
Kalau keluarga sudah tidak dapat mengawal wanita begini, apalah kuasa anda untuk mengawalnya. Sekali pun ada dinyatakan kuasa cinta tetapi kebiasaannya hanya mereka yang benar-benar menghargainya, dapat merasai semua ini.
2. Rancanglah Perjalanan Hidup Dengan Sebaiknya
Apabila sudah menemui wanita yang disifatkan sangat baik, memahami dan sebagainya, mulakanlah mengatur perjalanan kehidupan anda. Jangan hanya memikirkan keseronokan bercinta sahaja. Ia hanya akan membuang masa sebaliknya mulalah memikirkan alam perkahwinan yang sangat dituntut di dalam agama.
Wanita dijadikan dari tulang rusuk lelaki, ia sangat mudah patah jika tidak dilentur dengan baik. Justeru menjadi tanggungjawab anda untuk melentur dengan sebaik mungkin kerana sifat wanita sangat lembut. Asal anda menyayanginya, mengasihaninya, melayannya dengan baik, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya, maka mereka juga akan melayan anda dengan sebaik mungkin. Jadi kalau sudah bertemu apa yang terbaik, teruskanlah kerana perjalanan masih panjang.
3. Memiliki Pelan B
Kadangkala, apa yang kita rancang tidak sama dengan apa yang ditakdirkan. Kalau anda sudah menemui wanita yang anda sukai, tetapi andai satu ketika dia menjauhkan diri dari anda, maka bersedialah untuk sebuah perjalanan yang masih panjang.
Bukan bermakna, apabila anda memiliki pelan B, anda harus melaksanakannya sekaligus tetapi sebaliknya anda harus bersedia agar tidak jatuh terduduk. Ambil contoh, kalau dalam pelan A anda merancang berkahwin dengannya, tetapi semakin dekat pada tarikh perkahwinan, hubungan itu si dia minta diputuskan. Kalaulah ini yang berlaku, jangan terlalu lama memendam rasa kerana emosi yang tidak stabil akan mengganggu semua perjalanan hidup.
4. Jangan Banyak Membuang Masa
Ada kalanya orang sentiasa memikirkan keseronokan hingga bercinta dalam tempoh yang lama. Tetapi anda sendiri boleh membuat penilaian, adakah si dia yang anda minati itu cenderung atau tidak kepada alam perkahwinan. Kalau setiap kali anda membuka mulut tentang perkahwinan, anak-anak, soal rumah tangga dan sebagainya dan reaksinya sangat biasa, janganlah terus membuang masa kerana dia yang anda sukai itu mungkin hidupnya hanya untuk berseronok sahaja. Pilihlah wanita yang solehah dan berhati mulia, insya-Allah, anda akan merasai nikmat kebahagiaan hidup.




